Tentang KPPMNS

SEJARAH RINGKAS

Koperasi ini ditubuhkan pada 23 Januari 1955 dan di daftarkan pada 05 Februari 1955. Nama asalnya ialah Sharikat Bekerjasama-sama Jimat Chermat Simpanan/Perniagaan Bagi Orang Melayu Negeri Sembilan Dengan Tanggungan Berhad.

Pengasas koperasi ialah Allahyarham Dato’ Shamsudin bin Nain, Menteri Besar Negeri Sembilan pada ketika itu. Peringkat awal   penubuhannya koperasi ini beroperasi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Di tahun pertama penubuhannya, Allahyarham Dato’ Shamsudin bin Nain telah membentuk Jawatankuasa Pengelola untuk menjelajah  ke seluruh pelusuk negeri ini mencari ahli yang terdiri daripada semua orang Melayu yang berumur lapan belas tahun keatas yang lahir dan bermastautin di Negeri Sembilan. Pada tahun pertama penubuhannya seramai 1,175 orang  telah menjadi anggota koperasi dengan kutipan syer sebanyak RM8,348.00. Sekarang syer terkumpul ialah sebanyak RM2.39 juta.

Individu yang menjadi tulang belakang penubuhan koperasi  ini dan menjadi Jawatankuasa Pengelola penubuhannya ialah Allahyarham Abu Kassim bin Yusof, Allahyarham Maarof bin Sheikh Ahmad, Allahyarham Abd. Jalil bin Aminuddin, Allahyarham Dato’ Idris bin Matsil, Allahyarham Abd. Malik bin Yusoff, Allahyarham Tan Sri Dato’ Abd. Samad bin Idris, Allahyarham Abd. Hamid bin Mahmud, Allahyarham Mohd Nor bin Ujang, Allahyarham Mohd Derus bin Abdullah, Allahyarham Abd. Ghani bin Mohd Akin, Allahyarham Hussein bin Meon dan Allahyarham Abd. Aziz bin Abu Bakar.

Mesyuarat Agung koperasi yang pertama telah diadakan pada 21 Julai 1956 di Sekolah Menengah KGV Seremban dan telah dihadiri oleh  44 orang anggota. Pada tahun tersebut koperasi telah memiliki empat lot tanah di Jalan Birch, Seremban yang dibeli dengan harga RM10,284.00. Setahun kemudian koperasi telah membeli kedai  di No. 45, Cameron Street berharga RM21,900.00, No.66, Birch Road berharga RM21,400.00 dan No. 1 Cameron Street berharga RM40,000.00. Aktiviti koperasi terus berkembang dimana hari ini koperasi telah memiliki 22 lot rumah kedai dan 130 ekar ladang kelapa sawit di Berisu, Alor Gajah dan Lubuk Cina, Rembau. Aset koperasi terkumpul sekarang ini ialah RM8.79 juta.

Pada 11 Jan 1980 nama koperasi ini diubah kepada Koperasi Permodalan Dan Perusahaan Melayu Negeri Sembilan Berhad dan nama tersebut kekal hingga sekarang.

Pada 15 April 2008 koperasi ini adalah satu-satunya koperasi yang telah membeli satu unit chalet di Sepang Gold Coast Sdn Bhd berharga RM 541,962.26.

Sepanjang penubuhannya, koperasi ini tidak pernah mengalami kerugian dan mampu mengeluarkan dividen kepada semua anggota yang layak dengan kadar terendah 1.9%  sehingga tertinggi 10%.

Untuk memenuhi tanggungjawab sosial kepada anggota,  Ybhg Dato’ Haji Abdullah bin Hj. Abas, Pengerusi koperasi, telah mencadangkan penubuhan Yayasan Dato’ Shamsudin Nain khas bagi mengumpul dana untuk dihadiahkan kepada anggota dan anak-anak anggota yang mencapai kejayaan ijazah kelas pertama  di peringkat sarjana muda. Sehingga hari ini seramai lapan orang telah dianugerahkan hadiah Yayasan Dato’ Shamsudin Nain yang berjumlah RM26,000.00 kepada lapan orang penerima.

Pada 08 Jun 2008  Allahyarham Tuan Haji Abdul Kudos bin Othman, Lembaga Koperasi ketika itu  telah mencadangkan penubuhan Yayasan Tahfiz Al-Quran bagi mengumpul dana untuk diagihkan  kepada anggota dan anak-anak anggota yang mengikuti pengajian Tahfiz dan berjaya manghafaz 30 juzuk Al-Quran. Sehingga hari ini Anugerah Yayasan Tahfiz Al-Quran belum ada penerimanya.

Koperasi juga sentiasa mengeluarkan derma kepada anggotanya yang  masuk hospital, ditimpa kemalangan, bencana alam dan sebagainya. Dibidang pelajaran koperasi telah mengeluarkan derma  kepada anggota dan anak anggota yang melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi didalam dan luar negara.

Hari ini, anggota koperasi ialah  seramai 1,015 orang dan mempunyai saham terkumpul sebanyak RM2.39 Adalah menjadi harapan kita semua, agar koperasi ini akan terus maju dan berjaya  supaya kejayaan tersebut akan terus dinikmati oleh anggota-anggotanya.